LAWATAN AKADEMIK KE INSTITUT KOMUNIKASI DAN ELEKTRONIK TENTERA DARAT (IKED)
📍 Tempat: Kem Tentera Darat Sungai Besi
📅 Tarikh: 7 April 2026 (Selasa)
Seramai 33 orang pelajar Semester 4 bersama 4 orang pensyarah telah menyertai lawatan akademik ke Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED), Kem Tentera Darat Sungai Besi.
Kehadiran rombongan telah disambut oleh Kol Kharul Rijal bin Abd Manaf selaku Komandan, bersama-sama anggota pengajar dan pelatih yang seterusnya memberikan penghormatan dan sambutan kepada delegasi lawatan.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah diberikan pendedahan berkaitan peranan dan fungsi Semboyan dalam Tentera Darat Malaysia, khususnya dalam memastikan sistem komunikasi ketenteraan beroperasi dengan cekap, tersusun dan berkesan semasa pelaksanaan operasi.
Selain itu, para pelajar turut didedahkan kepada pelbagai aplikasi serta peralatan komunikasi moden dan berteknologi tinggi yang digunakan dalam perkhidmatan ketenteraan. Antara yang diperkenalkan termasuk Morse Code Communication, radio taktikal, X-band, serta beberapa jenis antena seperti helical antenna, parabolic antenna dan monopole antenna.
Menariknya, para pelajar juga berpeluang menyaksikan demonstrasi SHF Truck, iaitu sistem komunikasi yang berperanan dalam mengaktifkan rangkaian komunikasi di lapangan. Pendedahan ini memberi gambaran yang lebih jelas tentang kepentingan teknologi komunikasi dalam menyokong keperluan operasi dan pertahanan negara.
Lawatan ini turut diserikan dengan kunjungan ke Muzium IKED, yang mempamerkan sejarah serta perkembangan peralatan komunikasi ketenteraan dari tahun 1950-an hingga 1990-an. Melalui sesi ini, para pelajar dapat menelusuri evolusi teknologi komunikasi dan memahami peranannya dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara dari semasa ke semasa.
Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini telah memberikan pengalaman yang amat bermakna dan pendedahan yang sangat bermanfaat kepada para pelajar, khususnya dalam memperluas pengetahuan berkaitan teknologi komunikasi serta aplikasinya dalam sektor pertahanan.
#Menimba ilmu,menelusuri teknologi,memperkasa pengetahuan #DKR #TVETMARAMJII
by sensei Azlin

.jpeg)


.jpeg)
.jpeg)
No comments:
Post a Comment