LAPORAN SAMBUTAN BULAN KAUNSELING TVETMARA MJII 2026: KAUNSELING ERA DIGITAL MEMACU KESEJAHTERAAN"
Sinopsis :
Sambutan Bulan Kaunseling pada bulan Oktober 2026 peringkat TVETMARA MARA-Japan Industrial Institute (MJII) mengangkat tema “Kaunseling Era Digital Memacu Kesejahteraan” telah berjaya dilaksanakan sebagai manifestasi komitmen institusi dalam memperkasa kesejahteraan mental, emosi dan psikososial warga kerja serta pelajar. Majlis perasmian sambutan Bulan Kaunseling telah disempurnakan oleh Pengarah TVETMARA MJII, Ir. Ts. Dr. Mohd Nazif bin Mohd Baharuddin pada 28 Oktober 2026. Dalam ucapan perasmian, Pengarah telah menzahirkan penghargaan kepada seluruh staf dan pelajar atas komitmen serta kerjasama yang diberikan, di samping menekankan kepentingan pematuhan terhadap Buku Peraturan Akademik dan penglibatan aktif pelajar dalam setiap aktiviti serta program yang dianjurkan oleh institusi.
Sepanjang sambutan bulan Kaunseling, pelbagai inisiatif berteraskan pembangunan kendiri dan kesejahteraan telah dilaksanakan, merangkumi pertandingan mewarna yang melibatkan staf dan pelajar, kempen kata-kata motivasi bagi menyuntik semangat serta membudayakan pemikiran positif, selain sesi konsultasi dan khidmat nasihat melalui booth kaunseling sebagai platform sokongan psikososial yang lebih mudah didekati dan mesra warga institusi.
Sebagai kemuncak sambutan, Program “Navigasi Minda: Seni Mengurus Tekanan dan Keresahan Melampau” telah disampaikan oleh penceramah Puan Siti Maisurah binti Ali, Pegawai Psikologi, Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang pada 30 Oktober 2026. Pengisian ini memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental, strategi mengurus tekanan dan keresahan, pengawalan emosi serta pembinaan daya tahan psikologi dalam mendepani cabaran kehidupan, pekerjaan dan pembelajaran. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada Pengarah dan seluruh barisan Pengurusan Tertinggi TVETMARA MJII di atas sokongan, kepercayaan serta komitmen berterusan dalam memperkasa dan menyokong pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling TVETMARA MJII. Sokongan kepimpinan ini merupakan pemangkin penting dalam memastikan agenda kesejahteraan warga institusi terus diberi perhatian dan dilaksanakan secara berterusan.
Secara keseluruhannya, sambutan ini bukan sekadar pengisian kalendar aktiviti tahunan, malah menjadi platform strategik dalam membudayakan literasi kesihatan mental, memperkukuh daya tahan psikologi, menggalakkan budaya saling menyokong serta membina persekitaran kerja dan pembelajaran yang inklusif, harmoni dan sejahtera. Usaha ini selari dengan aspirasi melahirkan warga TVETMARA MJII yang bukan sahaja kompeten, berkemahiran dan berdaya saing, malah seimbang dari aspek kesejahteraan mental, emosi dan sahsiah diri.Penganjuran ini merupakan komitmen Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam memperkasa budaya cakna kesihatan mental, dan persekitaran pekerjaan yang positif, harmoni dan sejahtera dalam kalangan warga TVETMARA MJII.
bu kaunselor Yati

.jpeg)





.jpeg)

No comments:
Post a Comment