DKR Industrial Talk 2026
1. Pengenalan
DKR Industrial Talk 2026 telah dianjurkan oleh Jabatan Data Transmission & Network sebagai inisiatif pendedahan industri kepada pelajar, khususnya berkaitan realiti kerjaya dan keperluan kompetensi dalam bidang pengurusan projek dan teknologi maklumat (IT). Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami aplikasi sebenar ilmu akademik melalui perkongsian pengalaman industri oleh penceramah jemputan.
2. Maklumat Aktiviti
Tarikh: Jumaat, 9 Januari 2026
Masa: 10.30 pagi – 12.30 tengah hari
Tempat: Tokyo Hall, Theaterrate 4
Penceramah: Muhammad Hadzwan Afiq bin Hisham
Jawatan: Project Management Executive
Tajuk Perkongsian: From Planning to Delivery: Managing Real-World IT & Infrastructure Projects
Penglibatan: 95 orang pelajar dan 7 orang pensyarah DKR
3. Pengisian & Perkongsian Penceramah
Sepanjang sesi perkongsian, penceramah telah menyampaikan input yang komprehensif merangkumi aspek pembangunan diri, perjalanan kerjaya serta pengalaman sebenar dalam menguruskan projek-projek IT dan infrastruktur.
Penceramah menekankan kepentingan keseimbangan antara pergaulan sosial dan pencapaian akademik semasa di institusi pengajian. Menurut beliau, kemahiran komunikasi, sikap profesional dan keupayaan membina jaringan industri merupakan faktor penting yang melengkapkan kecemerlangan akademik dalam membentuk graduan yang holistik.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi bermula sebagai graduan diploma yang tidak meneruskan pengajian ke peringkat ijazah. Keputusan tersebut dipengaruhi oleh tanggungjawab keluarga, termasuk pengalaman membantu menguruskan serta menjual hasil tanaman nenas milik keluarga. Pengalaman ini telah membentuk kemahiran pengurusan asas, daya tahan serta etika kerja yang tinggi.
Selain itu, penceramah berkongsi keberanian beliau menerima tawaran pekerjaan dengan gaji yang lebih rendah sebagai langkah awal membina pengalaman industri. Melalui komitmen dan prestasi kerja yang konsisten, beliau seterusnya berani memohon jawatan pengurusan walaupun hanya berkelulusan diploma, sekali gus membuktikan bahawa pengalaman, kemahiran dan sikap profesional memainkan peranan besar dalam kemajuan kerjaya.
4. Pengalaman Pengurusan Projek IT
Berdasarkan pengalaman industri, penceramah telah terlibat secara langsung dalam pengurusan pelbagai projek IT dan infrastruktur merangkumi sektor kerajaan, institusi kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Antara skop pengalaman yang dikongsikan termasuk pengurusan projek pusat data, pelaksanaan pelan pemulihan bencana (Disaster Recovery Center), sistem sandaran data, portal kolaborasi serta sokongan dan penambahbaikan aplikasi.
Beliau berkongsi pengalaman menguruskan projek secara menyeluruh daripada fasa permulaan, perancangan, pelaksanaan, pemantauan sehingga penutupan projek, termasuk pengurusan risiko, pematuhan skop kerja, Service Level Agreement (SLA) dan penyediaan dokumentasi projek. Penceramah turut menekankan kepentingan koordinasi berkesan dengan pasukan dalaman, vendor, prinsipal serta pihak berkepentingan bagi memastikan penghantaran projek mengikut garis masa dan keperluan pelanggan.
Perkongsian ini memberi gambaran jelas kepada pelajar tentang realiti pengurusan projek IT yang memerlukan gabungan kemahiran teknikal, pengurusan masa, komunikasi serta kebolehan membuat keputusan dalam situasi sebenar.
5. Perkongsian Pensijilan Profesional
Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, penceramah turut mencadangkan beberapa pensijilan profesional dalam bidang pengurusan projek, antaranya:
a) Project Management Professional (PMP)
b) PRINCE2
c) Certified Associate in Project Management (CAPM)
Pensijilan ini disarankan sebagai nilai tambah yang dapat meningkatkan kredibiliti profesional dan peluang kerjaya dalam industri.
6. Penekanan Terhadap Latihan Industri
Penceramah turut mengingatkan pelajar agar memberi perhatian serius terhadap pemilihan tempat latihan industri dengan membuat perancangan awal dan memilih syarikat yang bersesuaian dengan bidang pengajian. Penekanan diberikan kepada peluang industri dalam kawasan network bubble di Cyberjaya yang menyediakan ekosistem teknologi dan IT yang luas serta relevan dengan keperluan semasa industri.
7. Kesimpulan
Secara keseluruhannya, DKR Industrial Talk 2026 telah berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberikan pendedahan bermakna kepada pelajar mengenai laluan kerjaya sebenar dalam bidang pengurusan projek dan IT. Perkongsian berasaskan pengalaman sebenar penceramah telah memberi inspirasi, meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan perancangan kerjaya, pembangunan kemahiran serta keberanian merebut peluang dalam dunia pekerjaan.
by sensei Nadiah

.jpeg)

.jpeg)
.jpeg)


No comments:
Post a Comment