Sunday, August 31, 2025

Sesi Libat Urus bersama Pengarah MJII Bil. 2/2025

 






SESI LIBAT URUS BERSAMA PENGARAH MJII

1. Program: Sesi Libat Urus bersama Pengarah MJII Bil. 2/2025

2. Tarikh: 29 Ogos 2025 (Jumaat)

3. Masa: 10.30 pagi – 12.15 tengah hari

4. Tempat: Tokyo Hall, MJII Beranang

5. Penganjur: Jabatan Pengajian Am


Sinopsis/Keterangan:

Sesi Libat Urus Bil. 2/2025 bersama Pengarah MJII Beranang, Ts. Hj. Rusli bin Abd. Rahman, telah berlangsung dengan jayanya seperti ketetapan di atas.

Ini merupakan sesi libat urus pertama beliau bersama warga kerja MJII setelah dilantik sebagai Pengarah MJII.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin, diikuti dengan sesi pengenalan staf baharu iaitu En. Zulhilman bin Abd. Rahman, sebelum diteruskan dengan ucapan oleh Tuan Pengarah.

Dalam ucapannya, Tuan Pengarah berkongsi sedikit pengalaman berkhidmat di beberapa institusi IpMA sebelum berpindah ke MJII. Beliau turut menekankan kepentingan semua warga MJII untuk sentiasa menghayati dan memahami visi serta misi MARA, di samping mengambil cakna terhadap perkara-perkara berkaitan MARA.

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan menjaga hubungan dan komunikasi sesama staf, sama ada dalam kalangan pentadbiran mahupun akademik, bagi mengelakkan salah faham dalam organisasi. Beliau juga mengingatkan agar staf lebih berhemah dalam penggunaan media sosial. Sebagai penjawat awam, setiap staf tidak seharusnya memuat naik isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan reputasi organisasi kerana ia boleh membawa kepada tindakan disiplin.

Pengarah turut menjelaskan mengenai aduan berkaitan kerosakan fasiliti. Beliau menegaskan bahawa kerosakan kecil boleh diselesaikan menggunakan wang hasil, manakala kerosakan besar memerlukan peruntukan khas. Beliau juga menyentuh isu capaian internet yang sering dihadapi pelajar dan memaklumkan bahawa pihak pengurusan sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut pada tahun hadapan melalui pemasangan router baharu di bilik asrama pelajar.

Di akhir ucapannya, Tuan Pengarah memberikan kata-kata semangat kepada semua staf yang akan terlibat dalam Sukan Teknikal MARA (STEKMA) agar bermain dengan penuh semangat, berhati-hati serta mencapai kemenangan.

Semoga sesi libat urus ini dapat memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan warga kerja MJII serta menjadi platform penyampaian maklumat yang bermanfaat.

by Fazliani sensei

Tuesday, August 26, 2025

Gotong-Royong Keceriaan Pusat Sumber SRAIPB

 






1. Nama aktiviti:  Gotong-Royong Keceriaan Pusat Sumber SRAIPB

2. Tarikh:  23/8/2025

3. Tempat:  Pusat Sumber SRAIPB

4. Penglibatan:

         2 Staf MJII, 20 Orang Pelajar   

Pihak Sekolah telah memohon tenaga pelajar untuk membantu menjayakan keceriaan Pusat Sumber SRAIPB  aktiviti yang dijalankan adalah mengecat pusat sumber  sekolah. Aktiviti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali TVET MARA dengan lebih dekat.

by sensei Azrul

Gotong-Royong MADANI SMK Bandar Tasik Kesuma

 







1. Nama aktiviti:  Gotong-Royong MADANI SMK Bandar Tasik Kesuma

2. Tarikh:  23/8/2025

3. Tempat:  SMK Bandar Tasik Kesuma, Beranang

4. Penglibatan:

         2 Staf MJII, 20 Orang Pelajar    

Pihak Sekolah telah memohon tenaga pelajar untuk membantu menjayakan Gorong-royong MADANI bertempat di SMK Bandar Tasik Kesuma, aktiviti yang dijalankan adalah membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini juga turut disertai oleh PIBG SMK BTK dan masyarakat setempat. Aktiviti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali TVET MARA dengan lebih dekat.

by sensei Azrul

JOM COK'OHOOK REWANG MERDEKA 2025

 










1. Nama aktiviti: JOM COK'OHOOK REWANG MERDEKA 2025

2. Tarikh:  10/8/2025 (Ahad)

3. Tempat:  Dewan Terbuka Kampung Orang Asli Bukit Bakong, Sungai Pelek, Selangor

4. Penglibatan: 2 Staf MJII, 40 Pelajar MJII.

Team Selangor telah menjemput Pihak MJII untuk menyertai JOM COK'OHOOK REWANG MERDEKA 2025 di perkampungan orang asli bertempat di Dewan Terbuka Kampung Orang Asli Bukit Bakong, Sungai Pelek, Selangor. Saudara Muhammad Imtiyaaz bin Mohd Sabri (DKS) dan Saudari Nur Syasya Arisa binti Sanusi (DKR) wakil Team Selangor dan juga pelajar MJII telah mengetuai delegasi MJII ke program ini. Aktiviti yang dijalankan adalah  rewang, membersih balai-raya, tadika orang asli dan perpustakaan mini kanak-kanak serta mengecat. Selain itu pelajar MJII  juga didedahkan dengan aktiviti kraf orang asli dengan menghasilkan dendan dan tarian orang asli. Majlis penutup di rasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Borhan bin Aman Shah, ADUN Tanjong Sepat.  Aktiviti ini memberi impak kepada pelajar untuk terus berbakti kepada masyarakat dan memberi peluang kepada masyarakat mengenali TVET MARA dengan lebih dekat.

by sensei Azrul

Monday, August 25, 2025

Kursus Penggunaan ChatGPT AI untuk Pendigitalan PDP TVET MARA di MARA - Japan Industrial Institute

 










1. Nama aktiviti: Kursus Penggunaan ChatGPT AI untuk Pendigitalan PDP TVET MARA di MARA - Japan Industrial Institute

2. Tarikh:   20–22 Ogos 2025

3. Tempat: RHR Hotel Kajang

4. Anjuran : Unit Latihan, Jawatankuasa Pendigitalan, MJII Beranang

5. Sinopsis/keterangan ringkas:

Kursus ini bertujuan untuk memperkasakan tenaga pengajar MJII Beranang dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT, DeepSeek dan Gamma untuk pembangunan bahan pengajaran digital yang lebih interaktif dan berkesan. Program ini juga menekankan kepada rekabentuk pedagogi digital berasaskan AI yang menyokong pembelajaran berpusatkan pelajar, selaras dengan keperluan pendidikan TVET masa kini.

Para peserta turut didedahkan kepada kaedah pengintegrasian AI dalam persekitaran PdP hibrid serta penggunaan teknologi untuk automasi penilaian. Kursus ini turut memberi penekanan terhadap aspek etika, privasi dan keselamatan data dalam penggunaan AI, bagi memastikan amalan PdP yang bertanggungjawab dan selamat.

Latihan ini dikendalikan oleh dua jurulatih bertauliah iaitu Coach Salwa Mohd Saleh dan Coach Intan Mas Ayu Shahimi dari SalamPro Solution. Penyampaian mereka yang menarik dan praktikal telah meningkatkan kefahaman peserta. Anugerah Peserta Terbaik telah diberikan kepada Nor Azrinna Muhamad, manakala Kumpulan Terbaik dimenangi oleh kumpulan "Raccoon Holdings".

by Akmar sensei 

Wednesday, August 20, 2025

Program Opening Young Eyes (OYES!) 2025

 









1. Nama aktiviti: Program Opening Young Eyes (OYES!) 2025

2. Tarikh:   7 Ogos 2025

3. Tempat: Sekitar MJII

4. Anjuran : Unit Kaunseling MJII dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia

5. Sinopsis/keterangan ringkas:


Program Opening Young Eyes (OYES!) 2025 merupakan satu inisiatif anjuran Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (YATIM) dengan kerjasama Unit Kaunseling MARA-Japan Industrial Institute (MJII) Beranang yang telah berlangsung pada 7 Ogos 2025 (Khamis) bertempat di sekitar kampus MJII Beranang. Program ini disertai oleh seramai 31 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 di sekitar daerah Hulu Langat yang terpilih. Objektif utama penganjuran adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, meningkatkan kesedaran terhadap bidang TVET, serta memberi pengalaman langsung melalui lawatan makmal dan bengkel interaktif.


Tentatif program dimulakan dengan pendaftaran peserta di Lobi Utama pada jam 8.45 pagi, diikuti lawatan dan taklimat ringkas di Galeri Narita. Seterusnya, peserta mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pengarah MJII, Ts. Dr. Haji Mahazani bin Ali, dan taklimat program yang disampaikan oleh Ketua- Ketua Jabatan bertempat di Tokyo Hall.  Seterusnya, peserta dibawa melawat Bengkel Robotik dan DKC bagi melihat secara dekat peralatan dan hasil inovasi pelajar MJII. Program tamat pada jam 12.30 tengah hari. 


Secara keseluruhan, Program Opening Young Eyes (OYES!) di MJII Beranang telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Usaha ini diharap menjadi salah satu pendekatan efektif dalam mempromosikan bidang TVET dan menarik minat pelajar untuk mengenali MJII. Hubungan antara MJII dan komuniti setempat khususnya Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia telah berjaya diperkukuhkan melalui penganjuran program seumpama ini dan peserta menunjukkan minat mendalam dalam bidang TVET dan kursus-kursus yang ditawarkan di MJII.

by kaunselor Tengku Yati

Lawatan Benchmarking KKTM Petaling Jaya ke Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA

 








1. Nama aktiviti: Lawatan Benchmarking KKTM Petaling Jaya ke Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA

2. Tarikh:  13/8/2025 (Rabu)

3. Tempat:  Bilik Nara, MJII

4. Penglibatan: 5 Staf KKTM PJ, 2 Staf Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA & 3 Staf MJII


Pada 7 Ogos 2025, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Petaling Jaya (KKTM PJ) telah memohon untuk mengadakan sesi lawatan penanda aras bagi Pusat Bahasa Mandarin dari Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA melalui MJII. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengenali serta mendalami prosedur dan pendekatan silibus yang digunakan dalam pembelajaran bahasa Jepun. Perbincangan telah diadakan untuk memaklumkan perbezaan program bahasa Jepun yang dilaksanakan antara Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA dan MJII. Lawatan ini juga memberi peluang untuk melihat Pejabat Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA, di mana segala operasi kerja dari awal sesi temuduga pengambilan pelajar baru sehingga pelajar yang terlibat berlepas ke Jepun dilaksanakan. Selain itu, makmal bahasa yang digunakan oleh pelajar MJII turut diperlihatkan, termasuk alat bantu mengajar serta platform yang digunakan dalam sesi pembelajaran bahasa Jepun di dalam kelas. Diharapkan sesi lawatan ini dapat memberikan pendedahan awal bagi pembangunan silibus dan prosedur kerja yang lebih berkesan dalam pelaksanaan Pusat Bahasa Mandarin di KKTM Petaling Jaya.

(Gambar Aktiviti spt di bawah)

by Ila sensei

Monday, August 18, 2025

Majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti dan Perasmian MJII Cyber Learning Centre 2025

 










1. Nama Aktiviti: Majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti  dan Perasmian MJII Cyber Learning Centre 2025

2. Tarikh: 15 Ogos 2025

4. Penglibatan:  Semua kakitangan dan pelajar MJII

5. Sinopsis / Keterangan Aktiviti : 

            Pada 15 Ogos 2025, seluruh warga MARA-Japan Industrial Institute (MJII) telah berhimpun dalam satu majlis penuh bermakna — Majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti dan Perasmian MJII Cyber Learning Centre 2025. Majlis ini bertujuan untuk menghargai jasa dan sumbangan dua tokoh penting institusi, Ts. Dr. Hj. Mahazani Bin Ali yang bersara dan Ir. Hj. Mhd Iswandi Bin Katutu yang berpindah ke tempat baharu, KKTM Kuantan.

            Majlis ini turut menyaksikan perasmian rasmi MJII Cyber Learning Centre, sebuah inisiatif baharu yang bakal memperkasa pembelajaran digital dan inovasi pendidikan di MJII. Dengan penglibatan penuh semua kakitangan dan pelajar, majlis ini bukan sahaja menjadi medan penghargaan, tetapi juga simbol komitmen MJII terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan teknologi masa depan.

           Majlis berlangsung dalam suasana penuh penghormatan dan kesyukuran, diiringi dengan ucapan, persembahan pelajar, serta tayangan khas mengenang jasa para tokoh yang diraikan. Semoga segala jasa dan bakti yang dicurahkan menjadi inspirasi kepada generasi MJII yang akan datang.

by Sensei Dr Firdaus