Menerajui Transformasi Global Pendidikan: Program MARA-ZEP EduFuture Strategic Collaborative Initiative (EFSCI) 2026
Program MARA–ZEP EDUFUTURE STRATEGIC COLLABORATIVE INITIATIVE (EFSCI) 2026 telah berlangsung pada 25 September 2026 di TVETMARA MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dengan kehadiran delegasi ZEP QUIZ yang terdiri daripada Jangwoo Bae, ZEP QUIZ Asia Pacific (APAC) Business Development Manager; Rifky Ramadhandi, ZEP QUIZ Southeast Asia Business Development Manager; Eric Micotti, ZEP QUIZ Thailand Business Development Manager; dan Intan Suhana, ZEP QUIZ Malaysia, Brunei and Philippines Business Development Manager. Program ini turut dihadiri oleh Puan Rosnani binti Rusdi, Timbalan Pengarah (Bahagian Pendidikan), Bahagian Kemahiran Teknikal, serta para jemputan daripada TVETMARA Petaling Jaya, TVETMARA Kuala Lumpur, TVETMARA Rembau, Kolej MARA Banting dan Kolej Profesional MARA Beranang, sekali gus mempertemukan pelbagai pihak dalam ekosistem MARA untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan potensi teknologi pendidikan.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah TVETMARA MJII, Ir. Ts. Dr. Muhamad Nazif bin Mohd yang menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh pendigitalan dan inovasi dalam pendidikan TVET. Seterusnya, Jangwoo Bae menyampaikan sesi perkongsian mengenai ZEP QUIZ, yang memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai potensi platform tersebut sebagai medium pembelajaran digital yang interaktif, menyeronokkan dan berpusatkan pelajar. Sesi perkongsian turut diserikan dengan Pop Quiz yang mewujudkan suasana pembelajaran yang santai, interaktif dan kompetitif. Sesi ini telah menobatkan En. Mohd Alifuddin Bin Mohd Jalani, En. Syaban bin Shamsulkamar dan En. Ahmad Azim bin Ahmad Shukri sebagai tiga pemenang.
Program diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Koordinator ZEP QUIZ Education Pilot Program, Pn. Nur Amalina binti Zainal, serta barisan peserta pilot program yang terdiri daripada Norhafizan binti Mohd Hanib, Norhaslinda binti Jamil, Syaban bin Shamsulkamar, Ahmad Azim bin Ahmad Shukri, Juliana binti Baharudin, Norulhuda binti Hassan, Azarina binti Jalaludin, Ruslinda binti Ruslee dan Nor Azrinna binti Muhammad. Penyampaian ini menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap komitmen dan kesungguhan para pensyarah dalam meneroka serta mengaplikasikan teknologi digital dalam PdP.
Salah satu pengisian penting program ialah Exchange Document Agreement antara ZEP QUIZ dan Koperasi KKTM Beranang Berhad, yang menjadi langkah bermakna dalam memperkukuh jaringan kerjasama dan membuka ruang kepada potensi kolaborasi yang lebih luas dalam bidang pendidikan digital. Program kemudiannya diakhiri dengan Pameran ZEP QUIZ Education Pilot Program, yang memberi peluang kepada para jemputan untuk melihat hasil pelaksanaan ZEP QUIZ secara lebih dekat serta mendapatkan penerangan berkaitan pengalaman, dapatan dan kaedah penggunaan ZEP QUIZ dalam PdP. Sesi ini turut membuka ruang kepada perkongsian idea dan perbincangan secara langsung antara para peserta dengan pihak yang terlibat dalam pelaksanaan pilot program.
Secara keseluruhannya, EFSCI 2026 telah menjadi satu platform yang bermakna dalam menghubungkan teknologi, pedagogi dan komuniti pendidikan, di samping memperlihatkan usaha TVETMARA MJII dalam menerjemahkan inovasi digital kepada amalan PdP yang lebih interaktif, kolaboratif dan berpusatkan pelajar. Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara ZEP QUIZ dan ekosistem MARA, malah menyemarakkan budaya perkongsian ilmu, penerokaan teknologi dan inovasi dalam kalangan warga pendidikan. Inisiatif sebegini diyakini dapat terus menyokong usaha memperkasa pendigitalan pendidikan TVET, meningkatkan kompetensi digital pendidik serta menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih relevan dengan keperluan generasi masa hadapan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada Pengarah TVETMARA MJII, Ir. Ts. Dr. Muhamad Nazif bin Mohd atas sokongan, kepercayaan dan galakan yang berterusan dalam menjayakan inisiatif ini. Sokongan dan dorongan pihak pengurusan menjadi pemangkin kepada warga MJII untuk terus meneroka teknologi baharu, memperkasa kompetensi digital dan mengembangkan amalan PdP yang selari dengan perkembangan pendidikan semasa. Semoga EFSCI 2026 menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih kukuh, perkongsian ilmu yang berterusan dan transformasi digital pendidikan yang memberi manfaat kepada warga TVETMARA secara keseluruhannya.
by sensei Amalina


.jpeg)

.jpeg)

.jpeg)



No comments:
Post a Comment