LEARNING EXPERIENCE: ALUMNI “KNOWLEDGE SHARING SESSION” – BENGKEL HUMANOID UNITREE G1 BERSAMA ALUMNI NUR IRDIENA NATASYA.
TVETMARA MJII sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi sentiasa menyediakan pelbagai aktiviti bagi membolehkan para pelajar meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran sepanjang tempoh pengajian mereka.
Namun begitu, usaha ini kadangkala berhadapan dengan beberapa kekangan, antaranya ialah ketiadaan peralatan dan teknologi terkini. Memandangkan perkembangan teknologi robotik di dunia berlaku dengan begitu pesat, bukan semua peralatan dan robot terbaharu mampu dimiliki oleh TVETMARA MJII dalam satu-satu masa.
Walau bagaimanapun, perkara ini tidak merencatkan usaha TVETMARA MJII untuk memastikan para pelajarnya sentiasa mendapat pendedahan kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini. Ini penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan pesat teknologi robotik dan automasi di peringkat global.
Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah melalui sesi perkongsian ilmu pengetahuan (Knowledge Sharing) bersama alumni Diploma Kejuruteraan Elektronik (Robotik dan Automasi) yang kini melanjutkan pengajian atau telah menceburi bidang industri.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Pengarah TVETMARA MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Ir. Ts. Dr. Mohd Nazif bin Mohd Baharuddin, untuk memperkukuh MJII sebagai pusat kecemerlangan TVET yang berteraskan inovasi, teknologi, kolaborasi strategik industri dan pembangunan kemahiran insaniah.
Sehubungan itu, Jabatan DKS telah menganjurkan satu sesi Knowledge Sharing dengan menjemput alumni, Nur Irdiena Natasya binti Barni, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UniKL Malaysian France Institute (MFI), Bangi.
Melalui sesi ini, para pelajar berpeluang mengikuti perkongsian pengalaman serta bengkel pengenalan dan pengendalian robot humanoid Unitree G1. Pendedahan secara langsung ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat teknologi humanoid terkini, termasuk aplikasi robotik, pergerakan robot dan potensi penggunaannya dalam pelbagai sektor industri.
Selain mendapat pendedahan kepada teknologi terbaharu, sesi ini turut memberi peluang kepada alumni untuk berkongsi pengalaman pembelajaran, pengetahuan teknikal serta perjalanan akademik selepas menamatkan pengajian di MJII. Perkongsian sebegini secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk terus berusaha menguasai bidang robotik dan automasi.
Program ini membuktikan bahawa jaringan hubungan alumni merupakan satu platform yang berkesan dalam menyokong proses pembelajaran di MJII. Ia juga membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pemindahan ilmu dan kerjasama berterusan antara alumni dengan institusi.
Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan pelajar DKS sentiasa mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih luas, relevan dan seiring dengan perkembangan teknologi robotik dan automasi masa kini.
#TVETMARA #MJII #DKS #Robotik #KnowledgeSharing
by KJ Jaa

.jpeg)

.jpeg)

.jpeg)

.jpeg)









No comments:
Post a Comment